Wednesday, August 23, 2006

PUTERA UMNO TERIMA BEKAS PENAGIH, MAT REMPIT

Dato Abdul Azeez Abdul Rahim, Pengerusi Putera UMNO ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung PENGASIH

TANDA SOKONGAN : Abdullah (kanan) dan Dato Azeez melihat replika cek yang diserahkan kepada wakil PENGASIH, Yunos Pathi Mohd

Dato Azeez bersama wakil PENGASIH dan Jamal Abdillah ketika sidang media
KUALA LUMPUR 20 Ogos – Putera UMNO berikrar akan berusaha memberi peluang kedua kepada bekas penagih dadah dan mat rempit bagi membolehkan mereka menyambung pelajaran dan mendapatkan pekerjaan.

Pengerusi Putera UMNO, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, Putera UMNO akan menjadi platform untuk membela hala tuju anak muda dan menarik mereka keluar daripada belenggu masalah sosial.

"Putera UMNO akan memberikan peluang kedua dan bimbingan dari segi pendidikan, rohani, akhlak, agama dan ekonomi.

"Punca utama masalah ini (dadah dan lumba haram) adalah perpecahan keluarga yang menjatuhkan moral anak muda, seterusnya mendorong mereka mengikut pengaruh kawan," katanya selepas merasmikan Perhimpunan Agung Kelapan Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih) di sini hari ini.

Pada majlis tersebut, Abdul Azeez turut menawarkan diri sebagai Bendahari Kehormat Pengasih untuk membuktikan kesungguhannya memerangi ancaman dadah, ke arah sifar dadah menjelang 2014.

Beliau menjelaskan, Putera UMNO ingin menukar pandangan masyarakat bahawa bekas penagih dan mat rempit adalah ancaman, kepada anggapan sebagai aset yang boleh dimanfaatkan untuk kemakmuran negara.

"Dadah kini menjadi ancaman kepada golongan masyarakat, tidak kira status. Oleh itu ibu bapa perlu berkomunikasi dengan anak-anak dan mengambil tahu siapa kawan mereka dan apa dilakukan ketika di luar.

"Artis seperti Jamal Abdillah dan Saleem menjadi contoh seorang penagih boleh pulang ke pangkal jalan dan Putera UMNO pula akan membantu bekas penagih untuk maju ke hadapan,” ujarnya.

Abdul Azeez turut menghulurkan derma RM10,000 daripada Putera UMNO kepada Pengasih untuk aktiviti dan program pemulihan penagih.

Dalam pada itu, beliau menyatakan, golongan mat rempit juga perlu diberi peluang kerana kebanyakan mereka tiada bimbingan dan arah tujuan untuk memajukan diri.

"Kebanyakannya tidak mempunyai kerja dan perlumbaan haram menjadi tempat mereka memperoleh sedikit pendapatan.

"Saya cadangkan penjenamaan semula untuk menjadikan mereka (mat rempit) tarikan pelancong dengan mengadakan perlumbaan selamat bersama kelengkapan dan cara yang betul," katanya.

Beliau mencadangkan supaya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan polis bekerjasama menutup jalan tertentu bagi menyediakan persekitaran selamat untuk mat rempit berlumba.

(Utusan Malaysia)

0 Comments:

Post a Comment

<< Home